Hadi Sindir Dr. Mahathir Bagaimana Hendak Tadbir Negara

PAS secara sinis mempersoalkan kewibawaan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mentadbir negara sedangkan soal pengagihan kerusi dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sendiri masih belum selesai sehingga mencetuskan pergaduhan sesama sendiri.

Dalam masa sama, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan Dr. Mahathir supaya menyelesaikan terlebih dahulu masalah dalaman mereka sebelum menyindir hasrat PAS untuk bertanding di 130 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai angan-angan Mat Jenin.

“Biar mereka (PPBM) sendiri selesaikan masalah mereka. Sebelum pilihan raya sudah bergaduh bagaimana hendak membentuk kerajaan,” katanya.

Sekumpulan ahli PPBM Negeri Sembilan membuat kecoh semasa Konvensyen Pakatan Harapan selepas tidak berpuas hati kerana hanya diberikan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding dalam PRU-14 di negeri itu.

Ahli-ahli PPBM tersebut dalam sidang akhbarnya selepas itu menjelaskan mereka dengan tegas menolak penjelasan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang meminta mereka berkompromi dalam agihan kerusi yang akan ditandingi parti itu pada PRU-14.

Ketua Pemuda PPBM negeri, Mohd. Sharul Anuar Abu Samah dilaporkan berkata, parti itu hanya diberikan enam kerusi DUN yang dianggap berstatus ‘hitam’ iaitu sukar untuk mencapai kemenangan berdasarkan keputusan pilihan raya umum lalu.

Sebelum itu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan diketuai DAP menyindir hasrat PAS untuk bertanding di 130 kerusi Parlimen dalam PRU-14 dengan menyifatkannya sebagai angan-angan Mat Jenin.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, PAS sentiasa realistik untuk bertanding di 130 kerusi Parlimen pada pilihan raya kelak berdasarkan kepada kekuatan mereka yang mempunyai 195 kawasan di seluruh negara.

“Kita bertanding di atas dahan yang kukuh. Kita ada 195 kawasan, cawangan serta jentera yang kuat. Kami hanya bertanding 130 kerusi dan itu sasaran yang realistik dan berpijak di bumi yang nyata.

“Kalah menang itu soal lain, yang penting kita bertanding dahulu,” katanya. – 30 Januari 2018.