Kerajaan Selangor Belum Tandatangan IBR

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunggu kerajaan negeri Selangor untuk menandatangani ikrar bebas rasuah (IBR) selama dua tahun, namun tindakan itu masih juga tidak dilaksanakan sampai sekarang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya kini belum menerima sebarang maklum balas berhubung perkara berkaitan dari kerajaan tersebut.

“Kita menunggu dengan sabar selama dua tahun. Kita tidak berputus asa. Tetapi setakat ini, kita tidak menerima sebarang maklum balas daripada mereka,” katanya selepas majlis menandatangani IBR oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Selayang, Selangor.

Beliau berkata, agensi di bawah kerajaan itu telah menandatangani ikrar tersebut dan berharap kerajaan Selangor akan melakukannya sebelum pilihan raya umum akan datang.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berkata, kerajaan negeri komited untuk menyokong IBR yang dimulakan oleh SPRM, tetapi menambah bahawa pentadbiran itu melihat IBR sahaja tidak mencukupi.

Beliau berkata, terdapat beberapa langkah tambahan yang dilaksanakan oleh pentadbiran negeri di peringkat negeri.

Sebagai contoh, beliau berkata, semua ahli majlis eksekutif negeri perlu menandatangani perisytiharan mengenai kepentingan mereka dalam perkara-perkara yang dibincangkan pada mesyuarat exco mingguan, yang mana beliau menyifatkan ia lebih berkesan daripada hanya berikrar.

Menteri Besar itu berkata, beliau akan menemui ketua SPRM Selangor yang baru dilantik, Datuk Alias Salim tidak lama lagi untuk menjelaskan pendirian kerajaan negeri berhubung perkara itu. – 30 Januari 2018.