Mahathir Tekan, Hukum Kelantan

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed mendedahkan sikap sebenar bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad terkenal dengan sikap menggunakan tekanan dan menghukum Kelantan berikutan sokongan rakyat negeri itu kepada PAS selepas tiga pilihan raya umum iaitu 1991, 1995 dan 1999 sangat menebal.

Memetik laporan sebuah portal berita, ketika bercakap mengenai perkara itu, Mustapa berkata “Dulu memanglah pelbagai tekanan diberikan sehingga ada orang kata rakyat Kelantan kena dera dengan Dr. Mahathir”.

Veteran serta pemimpin PAS sebelum ini pernah berkata Mahathir menafikan peruntukan dana kerajaan Persekutuan terhadap Kelantan terutama semasa era pentadbirannya dari 1981 hingga 2003.

Untuk rekod, 1981 hingga 2005, kerajaan persekutuan memberikan peruntukan sebanyak RM12.07 bilion kepada Kelantan. Bagaimanapun peruntukan tersebut bertambah kepada RM14.67 billion pada 2006 hingga 2018.

Datuk Seri Najib Tun Razak memegang jawatan Perdana Menteri bermula 2009.

Menurut portal itu, berdasarkan tinjauannya mendapati lebih separuh daripada pengundi Kelantan yang ditemuramah sejak kebelakangan ini tidak berpuas hati dengan kerajaan PAS yang telah mentadbir negeri itu hampir 30 tahun lalu.

Lapor portal itu lagi, lebih dua pertiga daripada 21 penduduk dari lima daerah yang ditemubual berkata, sentimen ubah kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini turut dikongsi oleh kenalan dan keluarga terdekat mereka.

Gelombang mengalih sokongan itu didorong atas faktor kelemahan kerajaan negeri menerusi perkhidmatan majlis perbandaran serta masalah bekalan air, kurangnya pembangunan dan peluang pekerjaan.

Namun, parti mana yang akan menjadi pilihan mereka masih belum jelas. Barangkali mereka mengambil sikap tunggu dan lihat parti mana yang dilihat lebih cakna rakyat. Justeru keputusan itu akan dibuat apabila tibanya pilihan raya.

Mustapa percaya sikap Najib terhadap Kelantan akan memberi kelebihan kepada BN berbanding Pakatan Pembangkang apatah lagi  Mahathir kini dinamakan sebagai calon perdana menteri gabungan pembangkang.

“Najib lagi popular di Kelantan berbanding Dr Mahathir, populariti Najib itu pastinya mampu untuk membantu BN merampas kembali Kelantan daripada PAS.

“Najib terbuka dan inklusif. Malah Menteri besar (Datuk Ahmad Yakob) kata lebih mudah berurusan dengan Najib banding dengan Mahathir.

“Inilah yang membezakan Najid dan Mahathir. Najib tidak menekan, beliau lebih terbuka. Beliau tidak menggunakan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).

“Ada lebih kebebasan bersuara dan ini menjadikan rakyat Kelantan lebih yakin kepada BN” katanya. – 30 Januari 2018.