PAS Kini Bukan Lagi Saingan Politik Kata PAN

PAN menyifatkan kekuatan jentera dengan mempunyai keahlian serta kawasan yang besar tidak semestinya menjadi lesen bagi memboleh atau memudahkan PAS membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Naib Pengerusi PAN Kelantan Che Ibrahim Mohamed berkata, jika faktor itu menjadi penentu kepada kemenangan maka sudah lama PAS boleh membentuk kerajaan di negara ini, bukan menunggu sehingga PRU14.

“PAS sepatutnya memenangi lebih banyak kerusi berbanding PKR dan DAP kerana jentera dan keahlian PAS jauh lebih hebat berbanding jentera PKR dan DAP.

“Ini menunjukkan sokongan ahli parti sahaja tidak cukup untuk menjamin kemenangan dalam pilihan raya. Pengundi yang tidak berparti jauh lebih besar jumlahnya berbanding ahli PAS,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, PAS sekarang telah terkeluar dari senarai persaingan politik tanah air berbanding parti-parti lain yang dilihat lebih berwawasan.

“Rakyat hanya akan memilih sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan sahaja untuk menerajui negara selepas PRU14,” katanya. – 30 Januari 2018.