PRU14: Najib Tunggu Ilham

Tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menjadi lebih sukar untuk diramal apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri tidak dapat membayangkan masanya.

Najib berkata, beliau kini sedang menunggu ilham bagi mengumumkan tarikh PRU14.

“Saya menunggu, saya tidak tahu (bila PRU). Menunggu semacam percikan atau ilham atau satu masa yang terbaik.

“Selagi kita buat ikut perlembagaan, lihatlah perlu tunggu hingga Jun, parlimen akan automatik bubar atau lebih awal. Kita akan lihat keadaan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Anggota Majlis Tertinggi UMNO di PWTC hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan tarikh PRU14 oleh media.

Najib dalam pada itu memberitahu, beliau berpuas hati dengan keadaan ekonomi negara yang bertambah baik.

Katanya, ringgit kini berada dalam keadaan semakin mengukuh dan Bursa Saham turut berada di paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

Selain itu, katanya kadar inflasi berada di tahap yang rendah dan pengangguran juga sekitar empat peratus. – 30 Januari 2018.