Zaman Najib Lebih Baik Berbanding Mahathir – Mohd. Amar

Kerajaan PAS Kelantan akui era pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lebih baik berbanding zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ketika membuat pengakuan itu berkata, hubungan baik antara kerajaan negeri dan pusat boleh dilihat sangat ketara pada zaman pemerintahan Najib.

“Jika dibandingkan zaman Najib dengan zaman Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi memang berbeza. Najib menjadikan hubungan Kelantan dan kerajaan pusat lebih baik,” katanya ditemui di pejabatnya di Kota Bharu.

Najib, semasa merasmikan Majlis Pecah tanah Projek pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 1 Ahad lalu menegaskan tidak akan mendera dan meminggirkan Kelantan daripada arus pembangunan negara.

Dalam pada itu, Mohd Amar menyifatkan kenyataan Najib Kelantan hanya bergantung kepada bantuan pusat sebagai tidak bijak.

“Semua negeri di Malaysia bergantung kepada pusat berdasarkan konsep federalisme,” katanya.

Tambah beliau, tiada negeri yang boleh berjalan tanpa bergantung kepada kerajaan persekutuan. – 30 Januari 2018.