Kerjasama Dengan PAN, UMNO Kelantan Nafi Dakwaan PAS

UMNO Kelantan menafikan dakwaan parti itu akan bekerjasama dengan mana-mana parti lain menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan, dakwaan tersebut sebagai spekulasi menjelang pilihan raya.

“Spekulasi sahaja, tak benar, saya tak pernah jumpa mana-mana pemimpin, PAS atau PAN untuk bincang pakatan antara UMNO dengan mana-mana parti pun.

“Dekat-dekat pilihan raya macam-macam sangkaan (timbul), kita dah biasa dengan perkara ini. Kita orang lama dalam politik, dah matang dan faham sangat dengan spekulasi dibawa,” katanya kepada media ketika menghadiri Jualan Muroh Ko Rakyat Jeli, hari ini.

Beliau berkata, UMNO dan BN sentiasa konsisten dengan prinsipnya dari dulu hingga kini iaitu akan menentang siapa sahaja yang menjadi lawan pada pilihan raya.

“Dalam UMNO kita tak berkongsi dengan sesiapa, kita buat kerja. Dari dulu sampai sekarang UMNO, BN akan bertanding dengan sesiapa sahaja yang menjadi lawan di Kelantan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ketika berceramah di majlis Perasmian Bilik Operasi PAS cawangan Panchor, Pengkalan Chepa, malam tadi mendedahkan beliau mempunyai maklumat mengenai kerjasama PAN dan UMNO di Kelantan.

Menurutnya, wujud perbincangan antara pimpinan kedua-dua parti itu di Kelantan yang bertujuan untuk menjatuhkan PAS pada PRU14.

Ambo (saya) ada maklumat, pimpinan PAN di Kelantan pergi jumpa pimpinan UMNO Kelantan dan berpakat.

“Dalam masa sebulan dua yang lepas mereka berpakat untuk jatuhkan PAS di Kelantan,” katanya.

Timbalan menteri besar Kelantan itu turut mendakwa, UMNO sudah bersetuju untuk memberikan sejumlah wang kepada PAN Kelantan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya tersebut.

“UMNO setuju nak bagi duit kepada PAN untuk buat kerja pilihan raya,” kata Mohd. Amar sambil mengesahkan akan bertanggungjawab dengan kenyataannya itu.

Sementara itu, Pengerusi PAN Kelantan, Datuk Wan Abd. Rahim Wan Abdullah berkata, akan menjawab dakwaan itu selepas berbincang dengan peguam.

“Saya akan bincang dahulu dengan peguam untuk tindakan lanjut, ” katanya. – 31 Januari 2018.