PAS Setuju Kerajaan Kekang Berita Palsu

PAS bersetuju cadangan kerajaan untuk mengkaji bagi memperkenalkan undang-undang mengekang berita palsu yang disifat menjadi ancaman kepada kestabilan politik dan ketenteraman awam.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, langkah itu amat wajar memandangkan terlalu banyak berita palsu yang tersebar menerusi media sosial sekarang ini.

“Islam sendiri menekankan maklumat itu mesti benar, (namun) banyak media-media sosial menyiarkan maklumat tidak benar, mengelirukan masyarakat dan mencetuskan perspesi negatif dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berkata, kerajaan akan mengkaji perkara itu kerana rakyat boleh terpesong sehingga membenci kerajaan atau melakukan sesuatu seperti merusuh kerana terpengaruh dengan berita palsu.

Mengulas mengenai penyebaran senarai calon cadangan formula kemenangan PAS Kelantan yang merangkumi 45 nama bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 untuk Parlimen semalam beliau berkata, perkara itu tidak boleh diambil kira walaupun parti itu telah mempunyai senarai calon yang lengkap.

“Kita kemukakan cadangan tiga calon bagi setiap kerusi (setakat ini) namun keputusan akhir belum ada. Hari penamaan nanti baharu boleh tahu calon yang akan bertanding.

“Senarai calon-calon ini, kadang-kadang esok nak penamaan calon, hari ini bertukar lagi (nama calon). Itu biasa dalam politik kerana calon yang disenaraikan itu mungkin ada isu-isu yang berbangkit, masalah teknikal. Sebab itu keputusan siapa yang akan bertanding, (hanya) pada hari penamaan calon,” katanya. – 31 Januari 2018.