Pergi Mekah Dengan Kapcai

Gambar Utusan Malaysia

Tiga peminat sukan motosikal termasuk mekanik berusia 64 tahun mahu mencipta sejarah menjadi penduduk Kelantan pertama sampai ke Mekah dengan hanya menunggang motosikal kapcai.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan akan menunggang motosikal di bawah 150 cc melalui perjalanan sejauh 14,000 kilometer merentasi tujuh buah negara bagi menunaikan ibadat umrah.

Menurut ketua kumpulan, Diami Yusoff, 58, berkata, perjalanan ‘Gi Mekoh Nga Mutor’ yang akan bermula pada 3 November hadapan dijangka memakan masa selama dua bulan sebelum mereka masuk ke kota suci umat Islam itu.

Diami yang juga Presiden Chopper Garage Kelantan iaitu sebuah kelab motosikal berkuasa besar berkata, dua lagi sahabatnya yang akan turut serta adalah seorang mekanik berpengalaman, Mohd Zalani Zulkifli, 64, mewakili ‘Wali 7 Bikers’ dan usahawan, Mohamad Fadhli Ab Rashid, 40 dari komuniti Kelantan Bikers.

Sebelum ini kita pernah dengar orang ke Mekah dengan berbasikal dan motosikal kuasa besar tetapi kalau dengan ‘kapcai’ kami rasa belum ada lagi khususnya penunggang dari Kelantan.

“Kami mahu membuktikan walaupun usia tidaklah lagi muda tetapi sebagai anak Kelantan kami mampu menempuh perjalanan yang jauh dan sukar berbekalkan pengalaman menunggang selama puluhan tahun.

“Kami juga merasakan seruan untuk ke sana sudah tiba sebab itu kami membulatkan tekad selepas mula merancang tahun lalu, hanya seorang daripada kami pernah berpengalaman menunaikan haji,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Diami yang lebih dikenali dalam khalayak permotoran di negeri ini dengan gelaran Abe Mat berkata, bagi menampung kos perjalanan yang dijangka menelan belanja RM120,000 pihaknya membuat jualan baju T untuk tujuan kutipan dana.

“Kami sudah ada persiapan kewangan sendiri tetapi jualan baju T ini dibuat untuk memberi peluang masyarakat terutama peminat sukan permotoran di negeri ini turut mempunyai ‘saham’ dalam perjalanan ini,” katanya.

Jelasnya, sesiapa yang berminat boleh menghubungi Mohamad Fadhli di talian 0109248605 untuk membuat tempahan baju T ‘Gi Mekoh Nga Mutor’. – Utusan Malaysia, 31 Januari 2018.