Tok Pa Jaja Daging

Daging lembu segar menjadi antara barangan terlaris dijual menerusi program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Jeli yang diadakan di hentian rawat dan rehat (R&R) Gemang hari ini.

Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menjual daging itu secara menjaja menjualnya pada kadar harga istimewa iaitu RM23 sekilogram berbanding harga di pasaran RM28 hingga RM30 sekilogram.

Selain itu, Mustapa turut menjaja barangan lain seperti beras, minyak masak, gula, ikan dan sayur.

Pelbagai barangan keperluan yang dijual menerusi program kelolaan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri itu habis diborong pengunjung hanya dalam tempoh tiga jam.

 

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, Jualan Sentuhan Rakyat yang julung kali diadakan di parlimen itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

“Program ini akan diadakan sebanyak dua kali sebulan di 14 parlimen di seluruh negeri dengan tujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat di samping menggalakkan peniaga untuk turut menurunkan harga barangan keperluan.

“Dengan sambutan sebegini meriah, kita mencadangkan PPDNKK menganjurkan program ini sebanyak tiga kali sebulan,” katanya. – 31 Januari 2018.