Jangan Kelirukan Rakyat, Tahun Lepas Pusat Bayar RM100 Juta Kata Husam Kepada PAS Kelantan

Kerajaan PAS Kelantan tidak perlu dijatuhkan sebaliknya ia akan jatuh dengan sendiri, kata Datk Husam Musa.

Penasihat PAN Kelantan itu berkata, kegagalan PAS mentadbir Kelantan dengan baik menyebabkan rakyat sendiri akan menolaknya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Beliau berkata, antara kegagalan kerajaan negeri yang boleh dilihat dengan nyata oleh rakyat ialah masalah air, isu pembangunan yang didakwa sengaja diperlahankan dan sikap lepas tangan berhubung masalah sosial di negeri itu.

“Saya nak jawab Nik Amar (Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah) yang kata Amanah (PAN) nak jatuhkan kerajaan PAS di Kelantan. Saya sudah beratus kali sebut, PAS Kelantan ini kita tidak payah jatuhkan kerana ia akan jatuh dengan sendiri… dengan masalah air yang tak selesai, masalah pembangunan dia nak perlahankan.

“Kalau kerajaan PAS jatuh, itu sudah natural, bila rakyat tolak dan bukan sekali ini kerajaan PAS Kelantan (pernah) jatuh,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Jentera Pilihanraya Harapan Tanah Merah.

Kata Husam, PAS Kelantan cuba mengelirukan rakyat apabila mendakwa mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk mentadbir urus negeri tetapi pada masa, meminta ‘sedekah’ dari kerajaan Pusat.

“Kalau kerajaan BN tak beri duit, (kerajaan negeri) nak bayar gaji (kakitangan awam negeri) pun tak cukup, kena minta sedekah dengan kerajaan pusat.

“Jangan kelirukan rakyat, kata kerajaan Kelantan cukup duit kerana defisit belanjawan mengurus pada tahun lepas sahaja RM100 juta yang dibayar kerajaan pusat.

“Bila kerajaan pusat bagi duit, maknanya duit tak cukup. Dari satu sudut, perkara ini tak perlu diperbesarkan kerana itu tanggungjawab kerajaan  pusat tapi dari satu sudut lain, kerajaan negeri kena mengaku duit tak cukup,” katanya. – 1 Februari 2018.