Pusat Tahfiz Tidak Mahu Dibantu Atas Faktor Perbezaan Politik

Sebahagian daripada 100 pusat tahfiz yang tidak mendaftar di negara ini dikesan masih belum membenarkan kerajaan membantu membaik pulih dan melaksanakan program penambahbaikan pendawaian di premis mereka atas faktor perbezaan fahaman politik.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya mendapati pusat tahfiz tersebut terus ingkar dengan tidak memberi kebenaran untuk tujuan baik pulih meskipun mereka sedar mengenai risikonya pada masa akan datang.

Sehubungan itu, Ismail berharap pusat tahfiz terbabit agar segera memberi kebenaran kepada kerajaan untuk membantu mereka kerana apa yang lebih penting ialah keselamatan anak-anak yang belajar di situ perlu diutamakan.

“Masih banyak pusat tahfiz ini tidak membenarkan kita masuk mungkin disebabkan aliran politik berbeza. Ada sesetengah daripada mereka menggangap kerajaan hendak ambil alih pusat tahfiz tersebut sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali.

“Jangan sangsi kejujuran kerajaan hendak membantu. Kita pun tidak pernah tanya mana-mana pusat tahfiz itu daripada parti politik mana. Semua pusat tahfiz di negara ini sama ada berdaftar atau tidak, kita bantu.

“Kita sendiri lihat bagaimana Perdana Menteri sendiri tidak pernah melihat semua itu, apa yang penting keselamatan para pelajar perlu diberi keutamaan. Perdana Menteri tidak mahu lihat tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa baru-baru ini berulang,” katanya. – 1 Februari 2018.