Tiada Tokoh, PAS Kelantan Import Calon Luar?

PAS Kelantan tetap meneruskan tradisi menamakan calon bukan anak tempatan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di negeri itu.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau berkata, calon bukan anak tempatan tersebut bagaimanapun hanya dicadangkan untuk bertanding di kerusi Parlimen sahaja.

“Bagi PRU-14, PAS Kelantan sudah menyerahkan lima nama bagi setiap kerusi DUN dan Parlimen untuk dipertimbangkan pimpinan parti di peringkat pusat.

“Memang ada beberapa nama (calon luar) dicadangkan.. untuk kerusi Parlimen,” katanya yang enggan mengulas lanjut perkara itu.

Sebelum ini, senarai nama calon-calon PAS yang dikatakan akan bertanding di Kelantan, termasuk beberapa pemimpin bukan anak tempatan telah tular di media sosial.

Antara yang tersenarai ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang kononnya bakal bertanding di Parlimen Kubang Kerian.

Turut tersenarai, Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan yang dikatakan akan bertanding di Parlimen Bachok serta Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh (Parlimen Pasir Puteh).

Ditanya tentang kesahihan senarai tersebut, Che Abdullah berkata, itu hanya tekaan rambang pihak-pihak tertentu bagi menghangatkan suasana menjelang PRU-14 semata-mata. – 1 Februari 2018.