Tidak Ada Kena Mengena Dengan Pembinaan Projek Tebatan Banjir

Penahanan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis berhubung masalah rasuah dan salah guna kuasa tidak menjejaskan fokus pembinaan projek Tebatan Banjir Lencongan Barat yang sudah memasuki fasa terakhir perlaksanaannya.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menafikan faktor kelewatan projek berkenaan adalah disebabkan skandal rasuah membabitkan pengarah tersebut.

Katanya, projek Tebatan Banjir Lencongan Banjir sepanjang 22 kilometer (km) dari Timah Tasoh ke Kuala Perlis itu masih berjalan dan tidak terganggu meskipun pengarah terbabit ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jadi tidak timbul isu bahawa projek berkenaan tertangguh atau terjejas disebabkan skandal rasuah yang membabitkan pengarah JPS terbabit,” katanya.

Kelmarin akhbar melaporkan sebanyak 13 lagi akaun bank membabitkan wang sebanyak RM1.1 juta dipercayai hasil rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Pengarah JPS Perlis serta dua pemilik syarikat dibekukan.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad dilaporkan berkata, angka terbaharu itu menjadikan wang milik pengarah berusia 60 tahun itu, anak-anaknya serta pemilik syarikat yang telah dibekukan berjumlah kira-kira RM4 juta.

Malah terdapat dakwaan kes berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kelewatan projek Lencongan Barat yang sepatutnya siap September lalu.

Tambah Azlan, beliau tidak boleh mengulas lanjut isu berkenaan memandangkan kes tersebut masih di peringkat siasatan SPRM.

“Kes ini masih dalam siasatan dan belum ada tuduhan yang membuktikan bahawa beliau (Pengarah JPS) bersalah, jadi kita jangan terlalu cepat menghukum seseorang itu melalui penahanan ini,” katanya. – 1 Februari 2018.