Tindakan Mahathir Pelik

Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempersoal sistem pilihan raya sedia ada dianggap pelik memandangkan apa yang dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dahulu sehingga kini telah meletakkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azlan Man berkata, Dr. Mahathir perlu menjawab persoalan, mengapa sistem yang beliau sendiri gunakan dahulu dianggap sebagai tidak telus sedangkan pilihan raya yang diadakan pada zaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat jauh lebih baik dan adil.

Dalam masa sama, Azlan juga mempersoal Dr. Mahathir yang tidak mengamalkan kebebasan pada zaman pemerintahannya sehingga sanggup menahan ramai pemimpin menerusi Ops Lalang dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekali gus menutup ruang untuk bersuara pada masa itu.

“Kenapa beliau (Dr. Mahathir) hendak pertikai (sistem pilihan raya) yang telah meletakkan dia sebagai Perdana Menteri cukup lama. Di mana kelemahan sistem yang ada sekarang, beliau perlu jawab itu.

“Kita masih mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan saya rasa sistem sedia ada itu ditambah baik di zaman Perdana Menteri sekarang,” katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi Pakatan Harapan diketuai DAP itu telah mengadakan perjumpaan dengan 16 duta dari negara-negara Kesatuan Eropah (EU) bagi menggesa mereka supaya memberi tekanan kepada Perdana Menteri untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) secara bersih dan adil. – 1 Februari 2018.