31,120 Keluarga Terima Wang Ihsan

Sebanyak 31,120 keluarga di seluruh negara yang terlibat dengan banjir baru-baru ini bakal menerima sumbangan wang ihsan yang sudah mula diagihkan secara berperingkat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu, bantuan bernilai RM500 setiap keluarga itu membabitkan mangsa di 10 buah negeri yang terlibat dengan bencana alam tersebut.

Katanya, mangsa yang layak menerima bantuan itu adalah terdiri daripada mereka yang mendaftar dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Hari ini, kita telah mula agihkan kepada kumpulan pertama mangsa banjir terbabit. Bantuan tersebut akan mula diagihkan secara berperingkat di seluruh negara,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Shahidan berkata, beliau berpuas hati dengan gerak kerja pengurusan banjir baru-baru ini yang disifatkan bertaraf lima bintang.

Malah katanya, banyak negara lain yang mengguna pakai pendekatan digunakan Malaysia dalam menangani bencana.

“Kita juga mempunyai aset yang cukup sekurang-kurangnya untuk menampung dua juta mangsa sekiranya berlaku bencana khususnya banjir,” katanya. – 2 Februari 2018.