PAN Bincang Saman Mohd. Amar

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah kemungkinan berdepan saman PAN berikutan dakwaannya parti serpihan PAS itu menerima wang daripada UMNO sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurut Naib Pengerusi PAN Kelantan Che Ibrahim Mohamed, PAN Kelantan kini dalam proses perbincangan dengan kepimpinan pusat bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas kenyataan yang dikeluarkan Mohd. Amar.

Katanya, kenyataan Mohd. Amar itu boleh memberi kesan kepercayaan kepada penyokong parti dan memang wajar untuk PAN mengambil tindakan undang-undang.

“Tuduhan ini bukan pertama dibuat oleh pemimpin PAS ke atas Amanah (PAN), sebelum ini mereka menuduh DAP memberi bantuan kewangan kepada Amanah. Kali ini kata BN pula biayai kami, kononnya untuk tumbangkan kerajaan pada PRU14 nanti.

“Sebarang maklumat atau perkembangan lanjut mengenai hal ini akan kami maklumkan dari semasa ke semasa. Buat masa sekarang, perbincangan masih dijalankan dengan pihak pusat,” katanya.

Mohd. Amar yang juga Naib Presiden PAS ketika berceramah di majlis Perasmian Bilik Operasi PAS cawangan Panchor, Pengkalan Chepa baru-baru ini mendakwa beliau mempunyai maklumat mengenai kerjasama PAN dan UMNO di Kelantan.

Menurutnya, wujud perbincangan antara pimpinan kedua-dua parti itu di Kelantan yang bertujuan untuk menjatuhkan PAS pada PRU14.

Ambo (saya) ada maklumat, pimpinan PAN di Kelantan pergi jumpa pimpinan UMNO Kelantan dan berpakat.

“Dalam masa sebulan dua yang lepas mereka berpakat untuk jatuhkan PAS di Kelantan,” katanya.

Malah beliau mendakwa, UMNO sudah bersetuju untuk memberikan sejumlah wang kepada PAN Kelantan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya tersebut.

“UMNO setuju nak bagi duit kepada PAN untuk buat kerja pilihan raya,” kata Mohd. Amar sambil mengesahkan akan bertanggungjawab dengan kenyataannya itu.

Sementara itu, Pengerusi PAN Kelantan, Datuk Wan Abd. Rahim Wan Abdullah berkata, akan menjawab dakwaan itu selepas berbincang dengan peguam.

“Saya akan bincang dahulu dengan peguam untuk tindakan lanjut, ” katanya. – 2 Februari 2018.