PM Bayangkan PRU14 Sebelum 14 Julai

Datuk Seri Najib Tun Razak membayangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan diadakan sebelum 14 Julai ini.

Ketika berucap semasa program penyerahan surat tawaran Program Khas Haji Perdana Menteri tajaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini memberitahu, para peserta yang akan bertolak pada tarikh tersebut akan melepasi dahulu dua peristiwa ‘Raya’.

“14 Julai bererti bahawa dua peristiwa akan terlepas, Hari Raya Aidilfitri dan satu lagi Hari Raya satu lagi, jadi dua-dua raya, baru tuan-tuan naik haji.

“Tetapi kita buat lebih awal lagi, lebih awal supaya tuan-tuan semat dalam hati,” katanya.

Sebelum ini Najib memaklumkan sedang menunggu ilham bagi mengumumkan tarikh PRU14.

“Saya menunggu, saya tidak tahu (bila PRU). Menunggu semacam percikan atau ilham atau satu masa yang terbaik.

“Selagi kita buat ikut perlembagaan, lihatlah perlu tunggu hingga Jun, parlimen akan automatik bubar atau lebih awal. Kita akan lihat keadaan,” katanya.

Ramalan PRU14 hangat diperkatakan sejak akhir tahun lalu dengan yang terakhirnya sekitar tiga bulan pertama tahun ini iaitu antara Januari, Februari dan Mac.

Mandat PRU13 hanya akan berakhir pada 24 Jun 2018 iaitu berdasarkan hari pertama sidang Dewan Rakyat selepas PRU-13. – 2 Februari 2018.