Mahasiswa Dinasihat Tidak Terpengaruh Kempen Undi Rosak

Golongan mahasiswa dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan kempen #undirosak yang dilihat boleh merosakkan sistem demokrasi negara.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kempen berunsur negatif tersebut bukan sesuatu yang pelik lebih-lebih ia didalangi pembangkang yang gusar dengan kecemerlangan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun katanya, beliau yakin mahasiswa cukup matang dan tidak akan terpengaruh dengan kempen sebegitu.

“Kempen undi rosak ini tidak pelik memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semakin hampir. Mereka cuba merosakkan pilihan raya kerana takut kalah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Ramah Mesra Pelatih Program Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) di Kota Bharu.

Kempen #UndiRosak timbul pada 7 Januari lalu oleh pembangkang dengan fokus utama mengajak golongan muda merosakkan undi pada PRU-14 nanti. – 3 Februari 2018.