Stadium Antarabangsa Jika BN Menang Di Kelantan

Sebuah stadium bertaraf antarabangsa merupakan antara perkara yang terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN) jika diberi mandat memerintah Kelantan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, manifesto khusus untuk Kelantan tersebut sedang dirangka dan perincian mengenainya akan diumumkan selepas dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Kita akan kenal pasti tapak yang sesuai untuk membina stadium baharu tersebut, iaitu sama ada di Pasir Puteh atau Machang.

“Kita juga akan membina pusat riadah di setiap daerah bagi membolehkan golongan belia melaksanakan pelbagai aktiviti sukan dan riadah,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pasar Baharu Selising baru-baru ini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zulkefli Ali dan ADUN Semerak, Datuk Zawawi Othman.

Mengulas mengenai pasar baharu Selising, Mustapa berkata, projek yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bernilai RM5 juta dan bertujuan menggantikan pasar lama yang terbakar pada 18 Disember 2015.

Beliau berkata, pembinaan pasar itu akan membolehkan 70 peniaga terjejas mempunyai tapak berniaga baharu yang lebih selesa.

“Ini adalah hadiah kepada rakyat Selising yang memilih UMNO dan BN dalam PRU-13. Pasar baharu ini dijangka siap dibina dalam tempoh setahun,” katanya. – 3 Januari 2018.