Ada Dua Kabinet Jika PAS Memerintah?

PAS bagaikan telah hilang pedoman dalam menentukan hala tuju politik sebenar apabila dilihat tidak konsisten ketika membuat sesuatu kenyataan.

Baru-baru ini, Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, beliau mahukan kerajaan hanya diterajui orang Melayu Islam.

Namun,pendirian itu tiba-tiba berbeza apabila hari ini beliau memberitahu akan ada peranan untuk setiap kaum di bawah pentadbiran PAS jika parti Islam itu berjaya membentuk kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Semasa berucap dalam Dialog PAS bersama NGO India di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini beliau berkata, jika PAS memerintah ia akan membahagikan kepada dua iaitu kabinet yang akan membuat keputusan dasar negara dan kumpulan teknokrat yang akan melaksanakan dasar kerajaan.

“Jika PAS memerintah, ia akan terbahagi kepada dua, satu Kabinet yang buat keputusan tentang dasar negara. Ini perlu terdiri daripada mereka yang pelbagai ideologi dan kepercayaan.

“Kabinet itu akan melantik Kabinet Eksekutif yang akan melaksanakan dasar dan ahlinya boleh terdiri daripada orang bukan Islam, dilantik berdasarkan kepakaran mereka.

“Kumpulan kedua pula adalah teknokrat yang akan melaksanakan dasar kerajaan. Teknokrat ini boleh dari Parlimen atau sektor swasta,” katanya.

Beliau berkata, Islam masih membenarkan orang bukan Islam berada dalam Kabinet walaupun Malaysia adalah negara majoriti Islam, dan ia berbeza dengan demokrasi barat di mana jika Demokrat menang pilihan raya, Kabinet dan pegawai kerajaan hanyalah ahli Demokrat.

Hadi juga berjanji, kaum India tidak akan dipinggirkan daripada Kabinet PAS.

“Orang India adalah kumpulan etnik terbesar selepas orang Cina. Jika kita perintah negara, ia perlu melibatkan kaum lain. Kerajaan tidak boleh terdiri daripada PAS sahaja.

“Ini sangat penting dalam eksekutif. Kita perlu menghormati kepakaran semua kaum.” katanya.

Sebelum ini, melalui tulisannya yang disiarkan di portal rasmi PAS Harakahdaily Hadi antara lain menyebut:

“Islam meletakkan mestilah ketua negara dan anggota kabinetnya yang beraqidah Islam daripada bangsa yang paling berpengaruh.

“Tetapi pada masa sama, Islam memberi hak yang lebih banyak kepada penganut bukan Islam dalam aspek politik, ekonomi dan lain-lain urusan kehidupan, lebih daripada hak yang diberi oleh pendukung dan pejuang ideologi ciptaan manusia dan agama lain terhadap pihak yang berbeza dengan mereka”. – 4 Februari 2018.