Iystihar Darurat: Serangan Jahat Mahathir

Tuduhan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kononnya akan mengisytiharkan darurat bagi menghalang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab selain serangan jahat yang melampau.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, serangan yang dilemparkan oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad itu semata-mata bagi memberi gambaran buruk kerajaan Barisan Nasional (BN) pada mata rakyat.

“Tuduhan itu merupakan serangan jahat kepada Kerajaan Barisan Nasional dan ditambah pula dengan dakwaan BN akan menipu dalam PRU-14.

“Malah, lebih tidak patut apabila Dr. Mahathir menggalakkan rakyat untuk turun berdemonstrasi sekiranya dakwaan yang dilemparkan itu berlaku,” katanya selepas menyaksikan pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) antara syarikat A-BIO Sdn. Bhd. (A-BIO) dengan Ain Medicare Sdn. Bhd. di Pengkalan Chepa Kelantan hari ini.

Dalam program Bicara Pimpinan Anak Muda Bersama Tun M yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam, Mahathir tidak menolak kemungkinan Najib akan mengisytiharkan darurat bagi menghalang PRU14 daripada berlangsung pada tahun ini.

Katanya, pengisytiharan darurat itu juga berkemungkinan boleh dilakukan selepas PRU14 sekiranya undi rakyat tidak memihak kepada kerajaan BN di bawah pimpinan Najib.

“Dia mungkin buat macam itu dengan alasan berlaku kacau-bilau di dalam negara bagi menggelakkan berlangsungnya PRU14 nanti dan kemudiannya negara ini akan diperintah seperti di bawah Majlis Gerakan Negara (Mageran),” katanya.

Pada Jun tahun lalu, Mahathir pernah membuat tuduhan yang sama melalui blog beliau.

Beliau berkata, kemungkinan berlakunya pengisytiharan perintah darurat jika pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang bagi menghalang pembangkang mengambil alih Putrajaya.

“Pembangkang mungkin berdepan kemungkinan pilihan raya diisytiharkan tidak sah dan terbatal jika BN (Barisan Nasional) kalah dengan margin kecil.

“Atau, kerajaan akan enggan mengakui kekalahan. Pembangkang akan dituduh menipu. Tiada bukti diperlukan untuk kerajaan mengisytiharkan ini. Pembuli BN akan bersedia untuk mewujudkan ketidakstabilan.

“Atas dasar ini kemungkinan pengisytiharan keadaan darurat dan Parlimen akan digantung,” katan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu. – 4 Februari 2018.