Kit Siang Tidak Perlu Takut, Patut Sokong Usaha Kerajaan

Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak perlu takut dengan pengumuman kerajaan untuk menggubal undang-undang baharu bagi mengekang penularan berita palsu sebaliknya beliau perlu menyambut baik hasrat tersebut.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, jika Kit Siang mendakwa kononnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai ‘penyumbang’ kepada berita palsu di negara ini, beliau perlulah menjadi antara individu yang menyokong langkah kerajaan itu.

Katanya, undang-undang tersebut adalah demi kebaikan semua pihak bagi melindungi mereka yang menjadi mangsa kepada penyebaran berita palsu ini.

“Kalau saya jadi Kit Siang yang mendakwa UMNO banyak sebar berita palsu, sepatutnya beliau sokonglah. Undang-undang ini bagus untuk semua pihak, bukan hanya untuk satu pihak sahaja,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Kit Siang yang mendakwa kononnya pengumuman kerajaan untuk menggubal undang-undang baharu bagi mengekang penularan berita palsu sebagai tidak meningkatkan keyakinan rakyat kerana kerajaan BN serta UMNO merupakan penyumbang terbesar berita palsu di negara ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, selama ini, BN sering menjadi mangsa kepada penyebaran berita palsu khususnya daripada tentera siber DAP, Red Bean Army (RBA) dan jentera pembangkang yang lain.

“Banyak juga berita palsu kita khususnya pada pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu di mana mereka menuduh kita membawa 30,000 pengundi Bangladesh. Fitnah itu sememangnya ada memberi kesan kepada kita pada masa itu,” katanya. – 4 Februari 2018.