Loji Nyahgram Untuk Penduduk Kg Pantai Senok

Pembinaan sebuah loji nyahgaram air laut di Kampung Pantai Senok, Tawang, di Kota Bharu Kelantan mampu memberi nafas kelegaan kepada lebih 3,000 penduduk di situ yang dibebani masalah mendapatkan bekalan air bersih sejak 45 tahun lalu.

Fasiliti baharu itu merupakan sebahagian daripada Projek Penyelidikan Translasional Loji Nyahgaram Air Laut yang dikendalikan sekumpulan 16 penyelidik tempatan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, projek tersebut bernilai RM5 juta dan dibiayai sepenuhnya oleh kementerian menerusi Skim Geran Penyelidikan Translasional (TRGS) di bawah Program Penyelidikan Strategik KPT Jaminan Air Kebangsaan.

“Pembinaan loji dan keseluruhan projek mengambil masa selama lima bulan. Loji ini menggunakan kepakaran tempatan dan berkeupayaan menghasilkan bekalan air terawat daripada air laut dengan kapasiti 500,000 liter sehari untuk kegunaan 10,000 pengguna.

“Kita memilih Kampung Pantai Senok kerana penduduk di sini dilaporkan berdepan masalah mendapat bekalan air bersih dalam tempoh yang lama,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Projek Penyelidikan Translasional Loji Nyahgaram Air Laut.

Sementara itu, seorang penduduk, Zakaria Jusoh, 72, berkata, dalam tempoh 45 tahun menetap di kampung itu, rata-rata penduduk terpaksa berulang alik ke kampung berhampiran atau membeli di kedai bagi mendapatkan bekalan air bersih.

“Keadaan tanah di sini menyebabkan air menjadi kurang bermutu dan tidak bersih untuk kegunaan harian. Biasanya saya ambil air dari perigi rakan di Kampung Beris Kubur Besar,” ujarnya. – 4 Februari 2018.