PAS Ingatkan Ahlinya Supaya Tidak Tikam Belakang

PAS mula mengingatkan ahlinya yang tidak terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ({RU14) ini agar tidak menikam bagi membunuh parti itu dari belakang.

Ingatan itu dikeluarkan berikutan tularnya senarai calon PAS yang bakal bertanding dalam PRU14 sejak beberapa hari lalu.

Ahli Majlis Syura Ulamak PAS Datuk Dr. Johari Mat berkata, jika senarai itu benar sekalipun, adalah sangat tidak manis apabila ahli keluarga PAS sendiri membalas dendam terhadap partinya.

“Pemilihan calon dibincangkan secara berjemaah, dengan adanya Majlis Syura Ulamak, maka individu yang terpilih itu sebenarnya adalah terbaik dan bukannya PAS mahu menganiaya mana-mana pihak.

“Bagi saya kita hendaklah menerima seadanya jika nama kita digugurkan dan tidak lagi diangkat untuk bertanding pada PRU14. Ini sudah ketentuan ALLAH SWT.

“Yang dipilih itu adalah sahabat kita, orang kita, bukan orang luar bertanding untuk Pas,” katanya.

Dalam pada itu beliau menyifatkan penularan senarai tersebut sebagai provokasi pihak tertentu menjelang PRU14 selain usaha mengkucar-kacirkan PAS. – 4 Februari 2018.