PRU14: PAS Telah Muktamadkan Calonnya

PAS sudah memuktamadkan calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan ia telahpun diluluskan oleh Majlis Syura Ulama tiga minggu lalu.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kebanyakan calon-calon terbabit adalah terdiri dari muka baharu termasuk wanita dan bukan Islam.

“Mungkin ramai calon muka baharu sebab calon lama dah berusia. Kami juga akan kemukakan ramai calon muda termasuk wanita dan bukan Islam,” katanya selepas menghadiri Dialog Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) India di Pulau Pinang hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hadi mengulangi kenyataannya di mana PAS akan bertanding di 130 kerusi Parlimen.

“Mungkin banyak lagi (kerusi). Kita akan bertanding di kawasan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan bertanding,” katanya.

Selepas Fastaqim 2.4 dan pelancaran jentera PAS Selangor di Shah Alam baru-baru ini Abdul Hadi berkata PAS akan bertanding lebih 130 kerusi Parlimen dalam PRU14.

“Kita sasarkan lebih 130 kerusi supaya dapat menang dengan majoriti yang mudah.

“Kita mahu bentuk kerajaan dan sertai kerajaan yang dibentuk,” katanya.

Abdul Hadi berkata, hingga kini, PAS sudah mengumpulkan puluhan badan bukan kerajaan dan tiga parti politik iaitu Parti Cinta Malaysia (PCM), Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (BERJASA) di bawah Gagasan Sejahtera. – 4 Februari 2018.