Cadangan Hadi, Apartheid Agama Jadikan Negara Semakin Bermusuhan

Timbalan Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy Palanisamy menyelar cadangan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentuk dua kabinet berbeza antara orang Islam dan bukan Islam sekiranya parti itu berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Ramasamy berkata, cadangan itu merupakan satu bentuk apartheid agama yang akan menjadikan negara ini “semakin bermusuhan” kepada bukan Islam dan cara pembahagian itu akan “secara drastik mengurangkan” kepentingan bukan Islam di Malaysia.

“Mereka (bukan Islam) akhirnya akan berdepan dengan situasi yang mana keputusan besar akan memberi kesan kepada kehidupan mereka, cara mereka hidup, hak kebebasan beragama dan kebebasan untuk memiliki sistem pendidikan vernakular, semuanya akan ditentukan oleh orang Islam dalam kepentingan membuat keputusan.

“Pendek kata, Malaysia di bawah PAS akan menjadi semakin bermusuhan terhadap agama selain Islam. Sekiranya sistem ini beroperasi, bukan Islam akan merasa sukar untuk mengamalkan agama mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramasamy yang juga Timbalan Setiausaha Agung Kebangsaan DAP berkata, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang membantah sistem apartheid di Afrika Selatan, yang berdasarkan ketuanan masyarakat kulit putih, tetapi cadangan PAS adalah satu bentuk apartheid berdasarkan agama.

Beliau berkata, cadangan Abdul Hadi itu bertentangan dengan prinsip Islam yang adil dan berteraskan keadilan.

“Jika konsep dua peringkat Islam Hadi ini diperkenalkan, Malaysia akan menjadi negara pertama dalam dunia Islam yang mempunyai sistem bertentangan dengan prinsip Islam sejagat,” katanya.

Semasa berucap dalam Dialog PAS bersama NGO India di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam Abdul Hadi dilaporkan berkata, akan membahagikan kepada dua iaitu kabinet yang akan membuat keputusan dasar negara dan kumpulan teknokrat yang akan melaksanakan dasar kerajaan. – 5 Februari 2018.