Hukum Agama Yang Sering Dilanggar Semasa Musim Pilihan Raya

Menjelang setiap kali pilihanraya, banyak larangan agama yang ditegah oleh Allah dan RasulNYA yang dilanggar oleh banyak pihak. Dalam kesibukan setiap pihak berkempen untuk kemenangan calon ataupun parti yang disokong oleh mereka, kadang-kala mereka terlupa bahawa di sana ada hukum hakam agama yang wajib dipatuhi. Janganlah keasyikan ingin memenangkan calon pilihan masing-masing sampai kita melanggar larang-larang Allah dan RasulNYA. Akhirnya jika kita tidak berdisiplin, perjuangan pilihanraya hanya menjadi satu dosa semata.

Dengan rendah diri saya ingin mengambil kesempatan ini, mengingatkan diri sendiri dan rakyat Malaysia amnya, terutama yang beragama Islam agar memastikan diri kita tidak melanggar larang-larang agama yang sering berlaku semasa pilihanraya sehingga akhir ia menjadi musim dosa yang tidak dapat dipadamkan dengan taubat kepada Allah semata sebaliknya mesti memohon kemaafan kepada pihak lain yang dizalimi.

Antara pantang larang agama yang dilanggar semasa musim pilihanraya seperti berikut;

1. Zalim dalam membuat penilaian terhadap pihak yang bertentangan.

Zalim dalam menilai pihak parti ataupun calon lawan sering berlaku dalam suasana pilihanraya. Penilaian yang tidak adil terhadap pihak yang dihadapi menyebabkan dipadamkan kebaikan yang ada dan dibesarkan kesilapan sekalipun kecil. Tujuannya, untuk menjatuhkan kredibiliti pihak lawan.

Penilaian yang bercampur permusuhan dan benci menyebabkan segala kebaikan pihak lain tidak mahu kita lihat. Kemudian, kita pula cuba mempengaruhi orang lain untuk bersikap yang sama. Sementara, pihak yang disokong pula, jika melakukan kesalahan yang sama seperti pihak lawan, kita tidak mempertikaikan. Bahkan kita mungkin cuba memberikan justifikasi yang tidak diberikan kepada pihak lawan sekalipun kadar kesalahan itu mereka sama. Kita membutakan mata dalam melihat kebaikan pihak lawan dan juga membuta mata dalam melihat kesalahan pihak yang disokong.

Allah berfirman: (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa”. (Surah al-Maidah: 8).

2. Mempercayai berita dari sumber yang fasik.

Menjelang pilihanraya, banyak berita memburuk pihak lain bertebaran. Di zaman yang mana teknologi media social begitu menguasai kehidupan manusia, maka pelbagai berita keburukan yang tiada bukti kesahihan dengan mudah disebarkan. Bahkan banyak berita itu dari sumber yang fasik iaitu sumber yang dimaklumi sifat tidak jujur dan tidak takut dosa.

Firman Allah: (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.(Surah al-Hujurat ayat 6).

Dalam al-Tafsir al-Munir dinyatakan bahawa ayat di atas menjadi dalil tentang kewajipan dalam memastikan setiap berita yang dibawa atau riwayat yang diriwayatkan. Ini sebagai langkah berhati-hati dan menghalang daripada menganiaya orang lain dengan tuduhan yang salah yang akan menyebabkan orang yang tergesa-gesa menghukum dan mempercayai itu menyesal di atas sikap tergopoh-gapah, tidak teliti dan berhati-hati“ (Wahbah al-Zuhayli, Al-Tafsir al-Munir, jil. 26, hlm. 229).

Allah memberikan amaran kepada kita dalam firmanNYA: (maksudnya) “ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ianya perkara kecil, pada hal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya”. (Surah an-Nur: 15).

3. Membangkit dosa peribadi yang tiada kaitan dengan kepentingan umum

Dalam usaha menjatuhkan kredibiliti pihak lawan, seringkali berlaku pendedahan keaiban peribadi calon yang tiada kaitan dengan kepentingan umum. Perbuatan mendedahkan aib peribadi merupakan dosa besar. Aib peribadi ialah maksiat seseorang dengan Allah tanpa membabitkan kezaliman ke atas pihak lain. Hanya melainkan jika kesalahan itu membahayakan para pengundi, maka itu boleh diperkatakan dengan kadar keperluan sahaja tanpa dikaitkan dengan perihal yang tiada kepentingan awam.

Allah berfirman dalam Surah al-Nisa ayat 148:ا (maksudnya) “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha mengetahui”.

Nabi s.a.w memberikan amaran: “Jangan kamu menyakiti orang mukmin, jangan kamu mencari-cari keaiban mereka kerana sesiapa yang mencari keaiban saudaranya Allah akan mendapatkan keaibannya. Sesiapa yang Allah dapat keaibannya, maka didedahkannya sekalipun (keaiban itu) dalam rumahnya”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

Namun, jika sesuatu kelemahan itu boleh memberikan kemudaratan ataupun memberikan kesan yang tidak baik kepada pihak lain, maka tidak mengapa dijelaskan dengan kadar yang diperlukan sahaja. Atas sebab itulah apabila ada pihak yang ingin meminang seseorang wanita, Nabi s.a.w mendedahkan kepada wanita kelemahan pihak yang meminang bagi menjaga kemaslahatan wanita yang dipinang. Dalam kisah Fatimah binti Qais yang dipinang oleh Abu Jahm dan Muawiyah bin Abi Sufyan, Nabi s.a.w memberitahu kepada Fatimah binti Qais: “Adapun Abu Jahm, dia tidak meletakkan tongkat dari bahunya (ditakwilkan bermaksud sering memukul isteri). Sementara Mu’awiyah seorang yang terlalu miskin, tiada harta padanya. Kahwinilah Usamah bin Zaid” (Riwayat Muslim).

Dalam hadis ini Nabi s.a.w mendedahkan kelemahan mereka demi menjaga kemaslahatan pihak yang terbabit iaitu Fatimah binti Qais. Jika untuk menjaga kemaslahatan satu individu, dibolehkan untuk kita mendedahkan kelemahan pihak lain yang terbabit, sudah pastinya menjaga kemaslahatan awam lebih sepatutnya dibolehkan. Namun hal itu hendaklah hanya terbatas kepada perkara yang berkaitan dengan kepentingan umum sahaja.

4. Malampau dalam perkataan semasa berkempen.

Ketika berkempen, ramai penceramah dan ‘tukang kempen’ tidak mematuhi syarak semasa memberikan ucapan. Ini menyebabkan mereka sering kali menggunakan perkataan yang buruk seperti maki hamun, mencarut dan seumpamanya. Dalam riwayat al-Tabarani dari al-Mu’jam al-Kabir: Nabi s.a.w pernah hadir dalam suatu majlis orang Ansar. Padanya ada seorang lelaki yang terkenal dengan suka memaki hamun. Nabi s.a.w pun bersabda: “Memaki orang muslim itu perbuatan fasik dan memeranginya perbuatan kufur”.

Kempen pilihanraya juga boleh membuatkan seseorang itu muflis di akhirat nanti. Sabda Nabi s.a.w: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).

5. Melampau dalam perbuatan semasa berkempen

Ada pula yang melampau dalam tindakan seperti menunjukkan isyarat lucah, mengejek, berkelakuan tidak senonoh terhadap pihak yang bertentangan. Akhlak yang buruk dijelmakan terutama ketika balas membalas semasa berkempen.

Rasulullah s.a.w sabda: Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Maksud hadis ini merangkumi semua tindakan melampau dalam perbalahan. Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w menyebut ciri-ciri munafik itu antaranya; “Apabila dia berbalah, dia jahat”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

6. Menyokong tanpa asas kebenaran sebaliknya atas ketaksuban parti atau puak.

Menyokong kumpulan ataupun parti politik tanpa melihat kepada benar ataupun salah, sebaliknya hanya atas dasar taksub maka itu merupakan perbuatan asabiyyah yang dilarang oleh Islam. Nabi s.a.w mengingatkan hal ini: “Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim). Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban.

Hal ini banyak berlaku dalam kalangan penyokong parti politik yang hanya menyokong parti tanpa mahu memikirkan lagi secara waras dan hujah samada benar ataupun salah pihak yang disokong itu.

7. Menyalahgunakan nas-nas agama untuk mendapatkan sokongan undi

Ini sering dilakukan oleh banyak pihak terutama ahli-ahli politik yang mempunyai kebolehan membaca nas-nas al-Quran ataupun hadis. Mereka kadang-kala menyalahggunakan nas-nas agama itu bagi menyokong parti mereka. Padahal mereka sendiri pun sedar hakikat parti ataupun pihak yang dikempenkan itu tidaklah seperti yang dimaksudkan dalam nas-nas agama yang dibacakan itu. Nas al-Quran memang tidak boleh diubah tetapi golongan politik yang mempergunakan ayat-ayat Allah dengan memberikan tafsiran dan makna ayat-ayat yang dibaca agar bersesuaian dengan kehendak kempen politik mereka. Ayat dan hadis tidak diletakkan pada maksud dan makna yang sebenar. Ini jugalah perangai golongan pengubah kitab-kitab dahulu yang telah dilaknat oleh Allah.

Firman Allah: “dan (juga) antara orang Yahudi itu amat suka mendengar (berita-berita) bohong dan amat suka mendengar perkataan-perkataan orang lain yang belum pernah datang kepadamu; mereka mengubah perkataan-perkataan (Taurat) dari tempat-tempatnya. Mereka mengatakan: “Jika diberikan ini (yang sudah diubah itu) kepada kamu, maka terimalah, dan jika kamu diberi yang bukan ini maka hati-hatilah”. Barangsiapa yang Allah menghendaki kesesatannya, maka sekali-kali kamu tidak akan mampu menolak sedikit pun (yang datang) daripada Allah. Mereka itu merupakan orang-orang yang Allah tidak hendak mensucikan jantung hati mereka. Mereka mendapat kehinaan di dunia dan di akhirat mereka mendapat siksaan yang besar”

Sebab itu Saidina Ali apabila mendengar slogan agama yang dilaungkan oleh pihak pelampau politik dalam sejarah Umat Islam iaitu Khawarij, beliau berkata: “Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”. (Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim).

8. Menipu pengundi dengan fakta yang palsu

Penipuan sering berlaku dalam musim pilihanraya. Antaranya, mempamerkan manifesto yang bohong yang pihak yang meletakkan itu sendiri mengetahui bahawa mereka tidak mampu melaksanakannya. Demikian memberikan maklumat palsu mengenai calon yang disokong ataupun yang ditentang. Dengan maklumat yang palsu itu maka pengundi akan tertipu dan membuat keputusan yang salah.

Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang memperdaya kami (kaum muslimin) maka dia bukan dalam kalangan kami. Tipu daya dan tipu helah itu dalam neraka” (Riwayat al-Tabarani dan Ibn Hibban, dinilai sahih oleh al-Albani).

Dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang memberikan pendapat untuk saudaranya dalam sesuatu perkara sedangkan dia tahu bahawa kebaikan itu pada perkara yang lain (pendapat lain) maka dia telah mengkhianatinya”. (Riwayat Abu Daud, dinilai sebagai hasan).

9. Mengkhianati amanah undi

Setiap undian yang tidak dilakukan atas sikap yang amanah maka ia satu pengkhianatan. Sesiapa yang mengundi calon yang dia yakin tidak layak maka dia telah melanggar perintah Allah dalam al-Quran. Ini kerana Allah berfirman: (maksudnya) “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).

Memberikan undi kepada yang tidak berkelayakan adalah mengkhianati amanah. Melainkan jika kesemua ataupun lebih dari seorang calon yang layak, maka pengundi boleh memilih sesiapa yang dia berpendapat lebih sesuai. Kemungkinan juga semua calon pada penilaian pengundi tidak layak, maka pengundi mengundi yang kurang mudarat. Jika pada keyakinan pengundi kesemuanya sama bahaya atau mudarat, maka hendaklah dia tinggalkan kesemuanya. Itu merupakan kaedah dalam agama. Terdapat nas-nas agama yang memberikan maksud seperti yang disebutkan itu.

*Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin adalah Mufti Perlis

*Artikel ini dipetik dari laman Facebook beliau dan ia tidak semestinya mewakili pandangan Sokmo.net