Keputusan Rayuan Tian Chua 2 Mac

Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 2 Mac depan untuk keputusan permohonan rayuan Naib Presiden PKR, Tian Chua berhubung sabitan dan hukuman denda RM3,000 atas kesalahan mengaibkan seorang pegawai polis, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Ab. Karim Ab. Rahman turut menetapkan tarikh tersebut sebagai keputusan silang pendakwaan untuk meningkatkan hukuman terhadap Tian Chua.

Pada 9 Mac tahun lalu Tian Chua didenda RM3,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah menyebut perkataan mengaibkan kepada seorang pegawai polis.

Hakim Yasmin Abdul Razak menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Pada 12 Ogos 2014, Tian Chua, yang juga Anggota Parlimen Batu, mengaku tidak bersalah menyebut perkataan mengaibkan kepada pegawai polis Petaling Jaya DSP Glenn A. Sinappah bagi mengaibkan kehormatannya.

Tian Chua didakwa melakukan kesalahan itu di pintu utama lobi Hotel Armada pada 7.45 malam, 14 April 2014 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen sekiranya disabitkan atas suatu kesalahan dan dihukum  penjara minimum setahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas. – 5 Februari 2018.