KPDNKK Senarai 13 Barang Dikawal Sempena Tahun Baru Cina

Sebanyak 13 jenis barangan disenarai dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Tahun Baharu Cina yang bakal disambut pada 16 dan 17 Februari ini.

Antara barangan tersebut ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, ikan bawal putih, udang putih besar dan daging babi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, skim kawalan harga itu berkuat kuasa 12 hari mulai 10 hingga 21 Februari iaitu enam hari sebelum, satu hari semasa dan lima hari selepas sambutan itu diadakan selain pada hari perayaan.

“Peniaga diwajibkan menjual 13 barangan itu pada harga lebih rendah atau tidak melebihi harga maksimum dan meletakkan tanda harga khas merah jambu bagi membezakannya dengan barangan lain,” katanya pada sidang media mengumumkan senarai barangan tersebut hari ini.

Beliau berkata skim kawalan harga musim perayaan ini membabitkan 91 daerah di Semenanjung, Sarawak (32), Sabah (27) dan satu daerah di Labuan.

Hamzah berkata, mereka yang gagal mematuhi peraturan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti pencatutan 2011 boleh didenda hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Individu terbabit juga boleh dikenakan kompaun hingga RM50,000, manakala syarikat boleh didenda hingga RM500,000 atau kompaun hingga RM250,000, jika sabit kesalahan.

“Bagi kesalahan tidak meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan terkawal, boleh didenda hingga RM10,000 atau kompaun hingga RM5,000 bagi individu. Manakala bagi syarikat, denda hingga RM20,000 atau kompaun hingga RM10,000,” katanya.

Beliau menegaskan KPDNKK akan melaksanakan pemantauan agresif bagi melindungi pengguna daripada kegiatan pengambilan keuntungan berlebihan oleh peniaga tidak beretika.

Pengguna dan peniaga boleh membuat semakan harga barangan pada laman web KPDNKK di http://www.kpdnkk.gov.my. – 5 Februari 2018.