PAS Sahkan Tanding Di Permatang Pauh

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan parti itu akan bertanding di kerusi parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Dengan pengesahan itu menjelaskan lagi kenyataan yang parti Islam itu telah memutuskan hubungan kerjasama politik dengan PKR.

Abdul Hadi berkata, Permatang Pauh adalah kerusi parlimen milik PAS pada Pilihan Raya Umum 1978 menerusi wakilnya, Zabidi Ali.

“Ketika itu, kita tidak menang banyak kerusi di Kelantan, begitu juga di Terengganu. Namun, kita menang di Permatang Pauh. Ini adalah kerusi PAS dan kita mesti mendapatkannya semula,” katanya dalam satu ceramah di Kampung Kubang Semang, Pulau Pinang malam tadi.

Kerusi parlimen Permatang Pauh kini diwakili Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, yang memenanginya menerusi pilihan raya kecil (PRK) pada Mei 2015 berikutan penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

PAS bertanding di kerusi parlimen Permatang Pauh sejak 1969 sebelum menyerahkan kerusi itu kepada PKR pada pilihan raya tahun 1999. Anwar mewakili parlimen itu sejak 1982 atas tiket UMNO.

Pada 1999, Anwar tidak bertanding, namum, isterinya Wan Azizah memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh hingga 2008, sebelum mengosongkannya pada 2009 untuk memberi peluang kepada suaminya kembali menjadi ahli parlimen kawasan itu.

Selain Permatang Pauh, difahamkan PAS juga akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Seberang Jaya dan Permatang Pasir. – 5 Februari 2018.