Sokong Azmin Merugikan Rakyat Selangor – Khalid

Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memberitahu bahawa beliau tidak akan memberi sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Malah, beliau berpegang kepada prinsipnya yang tersendiri terpulang kepada siapa untuk disokongnya.

Beliau berkata, rakyat Selangor akan rugi lebih RM2 bilion dalam isu penyusunan semula industri air sekiranya memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Gombak itu.

“Siapa saya sokong adalah hak saya. Yang jelas, saya tidak sokong YB Gombak kerana dia akan merugikan rakyat Selangor lebih RM2 bilion dalam isu penyusunan semula industri air Selangor,” katanya dalam status dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya.

Azmin sebelum ini mendakwa Khalid tidak berprinsip kerana “sekejap UMNO, sekejap PAS, kemudian bebas” untuk pilihan raya umum akan datang.

“Khalid perlu buat keputusan. Dalam politik kita mesti ada prinsip, idealisme. Ini sekejap (sokong) Umno, sekejap PAS, kemudian bebas. Jika beliau mahu main peranan dalam PAS, masuk parti itu,” kata Azmin.

Menurut sumber, Khalid berkemungkinan bertanding sebagai calon PAS di Parlimen Shah Alam pada PRU14 nanti.

Parlimen Shah Alam kini disandang oleh calon PAN, Khalid Samad.

Khalid dilihat mesra PAS selepas peristiwa Langkah Kajang, yang menyaksikan Azmin menjadi Menteri Besar Selangor dalam usaha PKR menggantikan Khalid dengan presiden mereka, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Sebelum ini beliau pernah membuat kenyataan akan membantu kempen PAS dan sedia bekerjasama dengan UMNO pada pilihan raya umum akan datang. – 5 Februari 2018.