40 Peratus Muka Baharu Calon PAS Kelantan

Kira-kira 40 peratus calon PAS di Kelantan akan dibarisi muka baharu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, calon muka baharu yang dipilih itu menepati kriteria ditetapkan Majlis Syura Ulama PAS dan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri termasuk mendapat sokongan masyarakat setempat.

“Sebenarnya dalam PRU-14 ini, ramai penyandang mahukan kita memberi laluan kepada muka baharu kerana faktor usia dan mahu memberi peluang kepada orang muda.

“Lagipun memang amalan dalam parti untuk membuka peluang seluas-luasnya kepada orang muda.

“Setakat itu sahaja yang boleh saya beritahu kerana masih terlalu awal untuk kita bercerita tentang calon,” katanya ketika dihubungi.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan pihaknya sudah memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding dalam PRU-14 selepas Majlis Syura Ulama PAS meluluskannya tiga minggu lalu.

Mengulas lanjut, Che Abdullah memberitahu, tiada calon bukan Islam akan bertanding mewakili parti itu di negeri tersebut dalam PRU-14.

“Tidak ada keperluan lantik calon bukan Islam kerana peratusan bukan Islam kecil di negeri ini. Majoriti pengundi di semua kawasan adalah masyarakat Islam Melayu.

“Ini tidak bermakna orang bukan Islam tidak diberi ruang menjadi pemimpin. Jika PAS kekal memerintah Kelantan, kita teruskan tradisi melantik mereka dalam pentadbiran negeri,” katanya. – 6 Februari 2018.