Calon Luar Pertahan Kelantan

PAS Kelantan berkata pilihan calon luar yang terdiri dari pemimpin utama parti Islam itu bertanding di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini menunjukkan kesungguhan PAS untuk mempertahankan Kelantan.

Sehubungan itu, PAS percaya serta yakin ahli dan penyokongnya dapat menerima perkembangan tersebut secara positif.

Setiausaha PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ahli parti itu kini terdiri daripada mereka yang berdisiplin dan patuh dengan arahan serta keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan.

“Jika ada ‘pemain import’ yang juga merupakan pemimpin utama bertanding di Kelantan, ini menunjukkan kesungguhan PAS untuk mempertahankan Kelantan. Samalah juga dengan bermain bola, kita masukkan pemain import untuk memperkuatkan pasukan.

“Kita tidak risau penolakan ahli kerana mereka yang memberontak semuanya sudah keluar dari parti. Yang ada kini ahli-ahli yang berdisiplin, patuh kepada pemimpin serta tidak berebut jawatan,” katanya selepas jamuan makan tengah hari bersama pengamal media di salah sebuah restoran di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan dan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh disebut-sebut akan bertanding kerusi parlimen di Kelantan.

Tuan Ibrahimt dikatakan akan bertanding di Parlimen Kubang Kerian, Nasruddin (Bachok) manakala Nik Muhammad Zawawi (Pasir Puteh).

Terdahulu, Che Abdullah berkata, kira-kira 40 peratus calon PAS di Kelantan akan dibarisi muka baharu dalam pilihan raya umum kali ini.

Katanya, calon muka baharu yang dipilih itu menepati kriteria ditetapkan Majlis Syura Ulama PAS dan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri termasuk mendapat sokongan masyarakat setempat. – 6 Februari 2018.