PAN Kelantan Saman Ketua Eksekutif PKINK, Tranungkite

Ahli Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS Kelantan Datuk Dr. Wan Zawawi Wan Ismail berdepan saman fitnah berhubung dakwaan PAN Kelantan dibiayai DAP.

Peguam Hisham Fauzi berkata, saman tersdebut telah difailkan oleh penasihat PAN Kelantan, Datuk Husam Musa.

“Saman berkenaan adalah terhadap Ahli Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS Kelantan yang juga Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Datuk Dr. Wan Zawawi Wan Ismail.

“Ia berkaitan penyiaran tulisan di akaun Facebooknya yang menuduh bahawa AMANAH (PAN) negeri Kelantan menerima duit dari seorang tauke judi dari parti DAP untuk digunakan bagi menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan,” katanya.

Hisham berkata, PAN turut menyaman sebuah portal berita pro PAS iaitu Tranungkite berhubung artikel PAN Kelantan sedang bekerjasama dengan UMNO Kelantan bagi tujuan yang sama iaitu menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan

“Tulisan ini kemudiannya banyak dikongsi (share) oleh pengguna media sosial dan tersebar luas,” katanya.

Saman tersebut katanya, telah difailkan oleh Pengerusi PAN Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah. – 6 Februari 2018.