PAS Selangor Bincang Isu Peruntukan Malam Ini

PAS Selangor akan bermesyuarat bagi membincangkan isu peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit yang dikatakan masih belum diterima daripada kerajaan negeri itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehin Mukhyi memberitahu, mesyuarat itu akan diadakan di pejabat PAS negeri di Shah Alam, Selangor malam ini.

“Selain isu pilihan raya, isu peruntukan yang masih belum diterima antara agenda yang akan dibincangkan dalam mesyuarat malam ini.

“Setakat yang saya tahu, bukan saya seorang masih belum terima tuntutan yang kita buat sejak bulan lalu, 14 ADUN PAS lain juga sama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak dapat memastikan ADUN dari parti lain ada menerima peruntukan tersebut daripada kerajaan negeri.

“Katanya ada juga yang sudah terima, ada yang masih belum,” katanya.

Isu mengenai peruntukan itu timbul bulan lalu apabila Sallehen dilaporkan berkata, kerajaan Selangor pimpinan PKR membekukan peruntukan untuk ADUN PAS, seperti dimaklumkan kepadanya oleh unit perancangan ekonomi negeri.

Bagaimanapun, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan perkara itu dengan berkata dakwaan itu ‘tidak benar’ dan ‘dakwaan tidak berasas’. – 6 Februari 2018.