Pembangkang Gagal Tiru Muafakat BN

Pakatan Harapan gagal meniru kesepakatan dihasilkan oleh 13 parti komponen Barisan Nasional (BN) kerana mempunyai dasar yang tidak jelas.

Menurut Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, perebutan sesama sendiri melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjadi bukti kepada kegagalan tersebut.

“Mana-mana parti yang nak mewujudkan proses kefahaman sepertimana Perikatan dan BN, kalau masih baharu, muafakat belum jelas, dasarnya belum jelas, memang akan timbul suasana kecelaruan.

“Muafakat itu tidak boleh nak ditiru. Kita sudah melalui satu proses perjalanan masa yang cukup panjang nak menggabungkan 13 parti untuk gunakan satu lambang, satu dasar dan satu manifesto.

“Sudah banyak kali dah (pembangkang) cuba tiru, dulu Angkatan Perpaduan Ummah cuba tak jadi.. Pakatan Rakyat tak jadi… PH ini pun tak jadi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengisytiharan Tan Sri Annuar Musa Al Hamra Red One Academy (TSAM ARMY).

Beliau mengulas pergolakan yang berlaku dalam kalangan parti komponen PH di beberapa negeri seperti Selangor, Kedah dan Terengganu gara-gara merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengulas lanjut, Annuar berkata, situasi yang berlaku terhadap PH sepatutnya dinilai sewajarnya oleh rakyat, adakah pakatan tersebut benar-benar mampu mentadbir negara.

“Bayangkan kalau di peringkat itu pun mereka tidak boleh urus. Bagaimana pula kalau mereka dapat kuasa dan mentadbir negara?” katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak sering menjadi sasaran serangan berita palsu kerana terlalu banyak pihak yang mahu menggantikan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

“Saya seorang sudah berada di bawah empat Perdana Menteri dan ingin saya tegaskan, pembunuhan karakter dan kempen membenci batang tubuh Perdana Menteri berlaku pada setiap era. Dengan izin Allah SWT kita akan perangi perkara ini,” katanya. – 6 Februari 2018.