Sallehan Belum Temu Azmin Bincang Isu Peruntukan

Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali hari ini memberitahu Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehan Mukhyi masih belum mengadakan pertemuan dengannya bagi membincangkan isu peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS daripada kerajaan itu.

“Belum. Saya telah terima permohonan untuk jumpa, saya akan tetapkan pertemuan, sebab beberapa ADUN telah bertemu saya,” kata Azmin ketika ditemui selepas konvensyen Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) di Shah Alam hari ini.

Sallehen dalam satu laporan Berita Harian 22 Januari lalu mendakwa dimaklumkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri bahawa peruntukan untuk wakil rakyat PAS itu disekat.

Azmin bagaimanapun menafikan perkara itu sebaliknya memaklumkan terpaksa mengambil sedikit masa untuk disalurkan kerana terdapat sedikit masalah.

Peruntukan tersebut sepatutnya disalurkan kepada setiap ADUN pada 1 Januari.

Kerajaan Selangor memperuntukkan RM800,000 kepada setiap ADUN dan RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen di negeri itu setiap tahun.

Sementara itu, Sallehan dilaporkan berkata, PAS Selangor akan bermesyuarat bagi membincangkan isu berkenaan di pejabat PAS negeri di Shah Alam, Selangor malam ini.

“Selain isu pilihan raya, isu peruntukan yang masih belum diterima antara agenda yang akan dibincangkan dalam mesyuarat malam ini.

“Setakat yang saya tahu, bukan saya seorang masih belum terima tuntutan yang kita buat sejak bulan lalu, 14 ADUN PAS lain juga sama,” katanya.

Di Selangor, PAS kini mempunyai 13 ADUN  dan seorang ahli Parlimen. – 6 Februari 2018.