Husam Terima, Kekal Taat Kepada Baginda

Penasihat PAN Kelantan Husam Musa menerima penarikan balik anugerah ‘Datuk’ dan menyifatkan ia adalah hak sultan mana-mana negeri untuk berbuat demikian.

“Tuanku Sultan mana-mana negeri berhak mengurniakan anugerah ataupun menarik balik sama ada menyatakan sebab atau tidak.

“Itu tidak menjadi masalah dan saya akan tetap meneruskan khidmat sebagai ahli politik dan ketaatan saya pada baginda kekal seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.

Beliau turut menjunjung kasih dan taat setia kepada baginda walaupun tiada sebab penarikan itu dikemukakan oleh pihak istana.

Penarikan balik anugerah itu turut berlaku kepada Pengerusi PAN Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkuat kuasa pada 6 Februari.

Terdahulu, dalam sidang media bersama Husam dan Wan Abdul Rahim memaklumkan telah memulangkan semula anugerah tersebut selepas diarahkan berbuat demikian oleh Istana Kelantan. – 7 Februari 2018.