PAS Beri Tempoh Kepada Azmin Sebelum Tahun Baru Cina

PAS Selangor memberi tempoh kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali agar melepaskan peruntukan kerajaan negeri yang menjadi isu sebelum ini kepada wakil rakyat terbabit sebelum Tahun Baru Cina.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehan Mukhyi berkata, PAS akan mengambil tindakan sekiranya kerajaan negeri itu gagal berbuat demikian.

“Kalau kami masih belum menerima juga, dan apabila ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) lain yang kami difahamkan ada yang boleh menggunakan peruntukan ini, maka selepas daripada Tahun Baru Cina ini kita akan ambil tindakan seterusnya termasuk buat kenyataan rasmi,” katanya dalam sidang media malam tadii.

Media sebelum ini melaporkan Sallehen sebagai berkata Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) memaklumkan peruntukan tahun ini kepada wakil-wakil rakyat dan penyelaras DUN PAS dibekukan.

Azmin menafikan perkara itu dan berkata kelewatan mungkin berpunca kerana masalah teknikal.

Sehubungan itu katanya, PAS Selangor akan bertemu Azmin bagi mendengar penjelasannya berhubung isu berkenaan.

“Pertemuan itu nanti bukan untuk merayu. Bukan amalan ADUN PAS untuk merayu tetapi sekadar untuk bertanya sama ada akan boleh dapat atau tidak peruntukan itu,” katanya. – 7 Februari 2018.