Rafizi Dijatuhkan Hukuman Penjara 30 Bulan

Rafizi Ramli dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah kerana melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) berhubung kebocoran akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd.(NFC).

Hakim Zamri Bakar ketika membuat keputusan itu berkata, pihak pembela gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pendakwaan berjaya membuktikan kes.

Dalam perkembangan yang sama, bekas kerani bank, Johari Mohamad turut diperintah menjalani hukuman sama selepas disabitkan kesalahan bersubahat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan pendakwaraya Lailawati Ali dan Steven Chin manakala Ahmad Nizam Hamid mewakili Rafizi dan Latheefa Koya mewakili Johari.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan didapati bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik NFC di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya.

NFC dimiliki oleh Mohamad Salleh Ismail.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Johari didapati bersalah kerana bersubahat dengan Rafizi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) BAFIA, dan boleh dihukum menurut Seksyen 103 akta sama. – 7 Februari 2018.