Sultan Tarik Gelaran ‘Datuk’ Husam, Wan Abdul Rahim

Husam Musa dan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah memulangkan semula darjah kebesaran bergelar ‘Datuk’ yang dikurniakan oleh Sultan Kelantan selepas diarahkan berbuat demikian oleh Istana Kelantan.

Kedua-dua pemimpin parti politik PAN Kelantan itu memberitahu, telah mengembalikan Darjah Kebesaran dan surat pelantikan yang berkaitan kepada Yang Amat Berusaha Pengelola Istana Diraja pada hari ini, 7 Februari 2018 di Istana Balai Besar.

“Menjunjung sebagaimana dititahkan, kami berdua telah mengembalikan Darjah Kebesaran dan surat pelantikan yang berkaitan kepada Yang Amat Berusaha Pengelola Istana Diraja pada hari ini, 7 Februari, 2018 di Istana Balai Besar.

“Kami mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menjunjung kasih dan mengulangi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhamad V,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama di Kota Bharu Kelantan hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, mereka menerima surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan pada petang semalam, 6 Februari 2018 memaklumkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V bersetuju menarik balik Tauliah Perlantikan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D. J. M. K.) (Al-Ismaili II) yang telah dianugerahkan kepada mereka sebelum ini, mulai pada 6 Februari 2018.

Husam adalah bekas exco kerajaan negeri kini penasihat PAN Kelantan manakala Wan Abdul Rahim Pengerusi PAN Kelantan. – 7 Februari 2018.