Baiah Talak Tiga Isteri Tidak Sah

Pimpinan tertinggi PAS hanya menggunakan isu baiah untuk menakut-nakutkan wakil rakyat mereka supaya setia kepada parti, kata Timbalan Pengerusi PAN Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi.

“Baiah adalah pengakuan sumpah sama seperti pegang jawatan dalam kerajaan atau angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ia adalah aku janji, merupakan prosedur biasa.

“Ia masih boleh dibatalkan mengikut syarak atas sebab kepentingan tertentu. Contohnya, jika diteruskan baiah itu datangkan mudarat pada diri, maka boleh batalkan dengan kafarah (denda).

“Mesti ada jalan keluar. Akad nikah pun baiah, itu pun boleh dibatalkan melalui perceraian. Apa baiah pun, itu antara kita dengan ALLAH SWT sebab baiah dibuat atas nama Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata, baiah talak tiga isteri tidak sah kerana ia melibatkan pihak ketiga.

“Kebanyakan ulama tegaskan baiah talak tiga isteri tidak sah kerana libatkan pihak ketiga.  Isteri tidak terlibat dalam urusan parti, kenapa perlu dipertaruhkan dalam ikatan itu, seolah menjadi mangsa,” katanya.

Phahrolrazi berkata, baiah PAS diubahsuai mengikut kehendak negeri masing-masing seperti mana di Kedah tidak melibatkan aspek talak isteri mahupun wang dalam sumpah itu.

“Hanya sebut nama ALLAH SWT, ia pengikat kami ketika itu, bila mungkir janji bermakna dengan ALLAH SWT,  sama ada ALLAH SWT hukum kita atau sebaliknya, ia urusan ALLAH SWT, bukan manusia,” katanya. – 8 Februari 2018.