Hadi Kata Ahli PAS Setia Kepada Parti, Tak Mungkin Undi Pakatan

PAS yakin ahlinya tidak akan memberi undi mereka kepada Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam temubual bersama sebuah portal berita online berkata, ahli PAS memiliki sifat kesetiaan yang jitu kepada parti.

“Ahli PAS ini ada kesetiaan kepada parti dia. Dia mesti setia kepada parti dia.

“Dan kalau dia tak setia kepada parti dia (bermakna), dia tak layak jadi ahli PAS.

“Ahli PAS tetap akan menyokong dan memberi undi mereka pada PAS,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan bekas pemimpin kanan PAS Datuk Mahfuz Omar bahawa anggota PAS akan mengundi calon Pakatan Harapan walaupun tidak meninggalkan parti Islam itu.

Mahfuz berkata, andaian itu berdasarkan pengalaman beliau sendiri sebelum dengan rasmi meninggalkan parti Islam itu hujung tahun lalu.

Anggota parlimen Pokok Sena itu keluar PAS kerana tidak sehaluan dengan hala tuju parti itu. – 8 Februari 2018.