Peniaga Didenda RM20,000 Muat Naik Status Jelik PM

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman denda RM20,000 atau empat bulan penjara ke atas seorang peniaga selepas mengaku bersalah bagi empat pertuduhan memuat naik empat kandungan komunikasi berunsur jelik terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali di laman Facebook miliknya dua tahun lepas.

Hakim Zaman Mohd. Noor menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau sebulan penjara bagi setiap pertuduhan ke atas Azhar Mamat, 45, apabila dia membuat pengakuan selepas pertuduhan terhadapnya dibaca.

Bagi pertuduhan pertama hingga ke-3, dia didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook “Azhar Mamat” dan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain antara 10.16 malam, 21 Julai 2016 dan pada 8.27 malam, 27 Julai 2016.

Azhar turut mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook “Azhar Mamat” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain, pada 8.28 malam, 29 Julai 2016.

Kesemua pautan itu dibaca di Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia, Tingkat 11, Menara A, Pandan Capital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah pada 7.00 malam, 15 Ogos 2016.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Mohd. Sophian Zakaria memohon hukuman setimpal atas alasan kesalahan dilakukan Azhar boleh menjejaskan maruah dan reputasi Perdana Menteri dan Peguam Negara. – 8 Februari 2018.