Rokok Seludup Bernilai RM3 Juta Dirampas

Rokok seludup bernilai RM3 juta berjaya dirampas dalam satu serbuan di Kampung Jeram, Pasir Puteh, Kelantan malam tadi.

Turut ditahan dalam serbuan itu ialah dua suspek lelaki berusia 27 tahun.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor Asisten Superintenden Ahmad Amri Ab. Rahman berkata, serbuan tersebut dilakukan kira-kira pukul 9.30 malam selepas dua malam melakukan intipan.

Beliau berkata, pada malam pertama intipan, anggotanya mengesan sebuah stor yang berkunci dipercayai tempat penyimpanan rokok seludup itu.

“Intipan pada malam kedua pula mendapati dua suspek sedang memunggah kotak-kotak yang dipercayai terdapat rokok seludup ke dalam kenderaan jenis Pajero Mitsubishi.

“Dua orang warga tempatan telah ditahan dan sebanyak 3,648,400 rokok putih pelbagai jenis jenama dirampas,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ahmad Amri memberitahu, kesemua barangan rampasan itu dibawa ke Markas Operasi PPM Wilayah Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1957. – 8 Februari 2018.