Tarik ‘Datuk’ Bukan Isu Modal Politik

Penarikan balik darjah kebesaran dua pemimpin parti di Kelantan tidak perlu dijadikan isu untuk modal politik.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, kedudukan istana mengatasi kuasa politik dan tindakan tersebut (menarik balik darjah kebesaran) adalah sesuatu yang lazim apabila timbul keperluan tanpa mengenal batasan politik.

“Ada persepsi kononnya penarikan balik darjah kebesaran Husam (Husam Musa) dan Wan Abdul Rahim (Wan Abdul Rahim Wan Abdullah) adalah berpunca dari orang politik atau bermotif politik, kerana kedua-duanya Naib Presiden Amanah dan Pengerusi Amanah Kelantan.

“Bagaimanapun, persepsi ini tidak betul kerana penarikan balik darjah kebesaran adalah kuasa prerogatif sultan yang tidak didorong oleh mana-mana pihak lain selaras dengan peruntukan Perkara 45(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan,” katanya memetik laporan sebuah portal berita online hari ini.

Kamarul Zaman berkata, mengikut peruntukan itu,t sultan boleh menarik balik darjah kebesaran jika pada pertimbangan baginda ada cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan oleh penerima darjah kebesaran yang mengharuskan diperbuat penarikan balik darjah kebesaran itu.

Penarikan balik darjah kebesaran sebelum ini turut berlaku kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Mohamed Yaacob, Tan Sri Hussein Ahmad dan Ahmad Rusli Iberahim.

Pembatalan Tauliah Perlantikan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK.) (Al-Ismaili II) milik Husam dan Wan Abdul Rahim berkuatkuasa pada 6 Februari (kelmarin). – 8 Februari 2018.