Hashim Bakal Berdepan BN Dan PPBM Di Arau

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin akan kembali bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai calon parti itu di kerusi Parlimen Arau yang sekali gus bakal menyaksikan pertembungan dengan Datuk Seri Shahidan Kassim sekiranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu mempertahankan kerusi Parlimen Arau pada pilihan raya umum nanti.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, Mohd. Shukri Ramli.

Sejarah baharu juga bakal tercipta di kawasan Parlimen ber­kenaan apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut akan meletakkan calon bagi mewakili Pakatan Harapan diketuai DAP, yang sekali gus akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru di kerusi yang hanya sinonim antara PAS dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Kali terakhir Hashim bertan­ding dalam pilihan raya adalah pada 2008 iaitu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang.

Beliau berjaya menewaskan calon BN, Abdullah Hassan de­ngan majoriti 149 undi.

Untuk rekod, Ha­shim juga pernah memenangi kerusi Parlimen Arau pada pilihan raya kecil (PRK) 1998 selepas menewaskan calon BN, Datuk Ismail Kassim (kini Ahli Dewan Undangan Negeri – ADUN Tambun Tulang) dengan majoriti seba­nyak 1,323.

Parlimen Arau me­ru­pakan kawasan tra­disi yang sentiasa menjadi tumpuan khususnya ketika bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din bertanding di kerusi tersebut pada 2004, 2008 dan pilihan raya lalu.

Sementara itu, Mohd. Shukri yang dijangka mempertahankan kerusi DUN Sanglang pada PRU-14 berkata, secara keseluruhan senarai calon PAS di negeri itu sudah hampir dimuktamadkan 100 peratus.

“Insya-Allah Mursyidul Am PAS akan kembali bertanding di Parlimen Arau,” kata ADUN Sanglang itu. – 9 Februari 2018.