Lapangan Terbang Sungai Bagan: ‘Ada Hati’ Sindir Ibrahim Kepada PAS

Pembinaan lapangan terbang  di Sungai Bagan, Machang Kelantan bukan satu keperluan, kata Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Dr. Ibrahim Ali.

Ini kerana katanya, jarak Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dengan jajahan itu tidak jauh selain perhubungannya tidak menyukarkan kepada pengguna.

Ibrahim berkata, menaik taraf LTSIP kepada lapangan terbang antarabangsa kini menjadi keperluan utama kerana ia akan memberi lebih banyak faedah kepada rakyat.

 

“Ada hati nak berjanji buat itu dan ini sedangkan apa yang mereka (PAS Kelantan) janjikan sebelum ini tidak pernah ditunaikan walaupun sebesar kelingking.

“Saya lihat cadangan ini tidak masuk akal dan lebih kepada politik sahaja, maklumlah dekat-dekat pilihan raya,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Datuk Dr. Wan Zawawi Wan Ismail mengenai cadangan Kerajaan PAS Kelantan untuk membina lapangan terbang bertaraf antarabangsa di Sungai Bagan, Machang.

Dalam kenyataan dikeluarkan portal Harakhadaily semalam, Wan Zawawi berkata, kerajaan PAS Kelantan merezabkan tanah seluas 500 hektar untuk cadangan projek tersebut.

“Selain itu kita juga akan bangunkan projek perumahan dan padang golf di lokasi berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mempelawa pelabur yang berminat membangunkan Sungai Bagan untuk diwujudkan bandar baru memandangkan lokasinya begitu strategik. – 9 Februari 2018.