Lim Kit Siang Sudah Nyanyuk Kata Pemuda PAS

Pemuda PAS Kelantan menyifatkan Lim Kit Siang sebagai sudah ‘nyanyuk’ dan perlu berehat sepenuhnya daripada dunia politik.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Kit Siang kerap kali membuat kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.

Katanya, pemimpin ‘de-facto’ dalam DAP itu sudah lupa bahawa DAP sebenarnya yang mula memanaskan hubungan dengan PAS sehingga membawa terkuburnya Pakatan Rakyat dulu.

“Hubungan PAS dan DAP menjadi berantakan akibat perangai DAP sendiri yang menunjukkan belang apabila tidak menerima usaha PAS memperkasakan undang-undang syariah.

“Saya rasa Kit Siang ini nyanyuk dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, DAP sendiri yang memutuskan hubungan dengan PAS malah pernah mendakwa Presiden kami sebagai hilang akal.

“Semuanya menunjukkan mereka yang memulakan langkah, DAP tidak bersetuju PAS bertegas mempertahankan hudud biarpun ia adalah perkara yang sudah menjadi prinsip parti sejak dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di dataran ilmu, di Kota Bharu Kelantan hari ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Kit Siang mendakwa punca perpecahan Pakatan Rakyat  dulu adalah kerana DAP tidak menyokong cadangan Abdul Hadi menamakan dirinya dan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Hadi dikatakan meminta sokongan DAP berhubung cadangan supaya Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah atau dirinya dilantik sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan, dan bukannya pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Masalah sebenar ialah keengganan DAP untuk menyokong Hadi sebagai perdana menteri (pada 2013).

“Pada malam sebelum pilihan raya umum ke-13, Hadi menghubungi DAP dan meminta sokongan supaya cadangan Anwar digantikan dengan Tengku Razaleigh sebagai perdana menteri Pakatan Rakyat, dan dia sangat kecewa apabila DAP tidak bersetuju,” katanya.

DAP berpegang kepada janjinya bahawa Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan selepas pilihan raya tersebut.

“Hadi berharap DAP juga akan menyokong dirinya sendiri sebagai calon perdana menteri Pakatan Rakyat, kerana PAS (tidak bersetuju) dengan Anwar,” kata Kit Siang. – 9 Februari 2018.